personally, sy kurang setuju dgn penambah video2 tambahan dlm rakaman asal video ni
tambahan: dari satuperkongsian.wordpress.com
oleh Utz Fauzi Asmuni
Kenapa kita boleh berbaik sangka dengan bangsa lain? Mungkin kerana mereka belum melakukan kezaliman.
Kenapa tidak boleh rahmah sesama bangsa sendiri? Kerana mereka melakukan kezaliman.
1. Ini salah satu komen yang saya ambil dari blog Ustaz Abdullah Zaik. Yang dimaksudkan dengan bangsa lain mungkin bangsa lain yang bukan beragama Islam. Soalan penuh yang diajukan oleh Ustaz Abdullah berbunyi:
“…kenapa kita boleh berbaik dengan bangsa lain atas alasan dakwah tetapi tidak boleh rahmah sesama bangsa sendiri yang sesama agama. Adakah kemungkaran yang lebih besar dari kekufuran?”
Lalu pengomen menjawab persoalan Ustaz Abdullah dengan jawapan di atas. Nampaknya pengomen mentakrifkan kezaliman dalam skop yang terlalu kecil (mungkin pada rasuah, nepotisme dan lain-lain jenayah orang politik sahaja).
2. Seorang muslim yang banyak melakukan maksiat (termasuk menginayai orang lain) dibandingkan dengan seorang non muslim yang banyak melakukan kebaikan, siapakah di antara keduanya yang lebih zalim?
3. Sebelum pergi lebih jauh, saya suka membawa pembaca kepada perbahasan ulama’ usul di dalam satu masalah yang disebut: “Adakah orang-orang kafir ditaklifkan dengan furu’ syariah seperti mana dia ditaklifkan dengan usul syariah?”
4. Ditaklifkan bermaksud diwajibkan. Dengan erti kata mudah; dia diwajibkan untuk melakukan sesuatu yang kalau ditinggalkan dia akan berdosa dan akan diazab di akhirat.
5. Usul syariah bermaksud keimanan kepada Allah dan rukun-rukun iman yang berkaitan dengan keimanan kepada Allah (isu-isu akidah). Tidak ada khilaf di kalangan ulama’ usul bahawa semua manusia (termasuk orang kafir) ditaklifkan dengan usul syariah. Dengan erti kata lain mana-mana manusia yang tidak beriman, dia dikira berdosa dan akan diazab di akhirat nanti.
6. Furu’ syariah bermaksud isu-isu selain dari permasalahan akidah seperti solat, puasa, zakat dan sebagainya. Ulama’ usul khilaf di dalam masalah adakah orang kafir ditaklifkan dengan furu’ syariah juga seperti usul syariah.
7. Ulama’ mazhab Hanafi mengatakan bahawa orang kafir tidak ditaklifkan dengan furu’ syariah. Dengan erti kata lain beliau tidak dikira berdosa dan tidak akan diazab jika tidak melaksanakan furu’ syariah. Hujah mereka:
a. Orang-orang kafir jika ditaklifkan dengan solat, solat itu tidak sah kerana mereka kafir
b. Orang-orang kafir yang memeluk Islam tidak perlu mengqadha’ kembali solat yang mereka tinggalkan selama mereka kafir
8. Manakala jumhur ulama’ berpendapat bahawa orang kafir ditaklifkan dengan furu’ syariah. Mereka menjawab hujah ulama’ mazhab Hanafi:
a. Semua yang diwajibkan untuk mendirikan solat diwajibkan terlebih dahulu memenuhi syarat sah solat seperti seorang yang berjunub. Dia tetap diwajibkan solat walau pun solatnya tidak sah dalam keadaan junub (hadas besar). Dengan itu beliau diwajibkan untuk mandi bagi mengangkat hadas besar terlebih dahulu sebelum mendirikan solat. Begitulah bagi orang kafir, dia diwajibkan memeluk Islam dahulu sebelum melakukan solat. Keengganannya memeluk Islam tidak menggugurkan kewajipan solat seperti keengganan seorang yang berjunub untuk mandi wajib tidak menggugurkan kewajipan solat ke atasnya
b. Orang kafir apabila memeluk Islam tidak perlu mengqadha’ solat-solat sebelumnya kerana apabila beliau memeluk Islam, dosa-dosanya yang lepas diampunkan Allah
9. Hujah jumhur ulama’ lagi di antaranya firman Allah yang bermaksud:
“Tentang (tempat tinggal) orang-orang yang bersalah, (setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): “Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?” Orang-orang yang bersalah itu menjawab: “Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang. Dan kami tidak pernah memberi makan orang-orang miskin.” (Al-Mudatthir: 41-44)
10. Jika kita memahami perbahasan ulama’ usul ini, kita akan memahami bahawa orang-orang bukan Islam mempunyai banyak dosa yang akan meletakkannya ke dalam kategori tidak adil atau zalim.
11. Seorang muslim yang menganayai orang lain, makan rasuah, pecah amanah … tapi beriman kepada Allah, Allah janjikan kepadanya bahawa dia masuk syurga juga akhirnya.
Abu Zarr meriwayatkan sabda Rasulullah s.a.w.: “Sesiapa yang menyebut ‘tiada tuhan melainkan Allah’ akan pasti masuk syurga.” Abu Zarr bertanya: “Walau pun dia berzina dan mencuri?” Rasulullah s.a.w. menjawab: “Walau pun dia berzina dan mencuri.” (sebanyak tiga kali). Pada kali keempat Rasulullah s.a.w. bersabda: “Walau pun Abu Zarr tidak setuju.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
12. Seorang kafir pula walau pun dia melakukan kebaikan dia tetap dicop oleh Allah sebagai zalim kerana dosa syirik adalah kezaliman terbesar. Allah berfirman yang maksudnya:
“Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: “Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar.” (Lukman: 13)
13. Adakah orang bukan Islam hari ini lebih baik dari Abu Talib, bapa saudara Rasulullah s.a.w.? Dengan segala usaha Abu Talib untuk membela anak saudaranya, beliau tetap kafir dan diazab kekal di dalam neraka.
14. Tokoh politik bukan Islam hari ini dikatakan tidak makan rasuah, tidak menzalimi orang lain, tidak makan hak orang lain … lalu bolehkah kita katakan mereka orang yang adil dan baik? Bagaimana pula dosa syirik? Dosa tidak solat? Dosa tidak bernikah mengkut syariat? Dosa minum arak? Dosa melakukan muamalah riba? Dosa bergaul bebas lelaki perempuan? Dosa berparti dan berdansa? Dosa tidak tutup aurat? Dosa menyeru ke arah perlembagaan bukan Islam? Dosa semua furu’ syariah yang mereka tinggalkan? Banyak dosa yang mereka lakukan mengikut neraca syarak, jadi janganlah puji mereka lebih-lebih … apatah lagi untuk menyamakan mereka dengan Umar Abdul Aziz.
15. Tokoh politik Islam pula ada yang makan rasuah, menzalimi orang lain, makan hak orang lain dan sebagainya. Saya tidak mahu membela perbuatan mereka. Perbuatan itu salah. Tetapi mereka tetap muslim menurut ahlussunnah wal jamaah kerana i’tiqad ahlussunnah wal jamaah bahawa dosa besar tidak membawa kepada kekufuran. Jadi dalam kita menegur perbuatan maksiat mereka, kita perlu meletakkan bahawa mereka saudara yang cukup hampir dengan kita.
16. Kesimpulannya; nak marah ahli politik Islam yang jahat biar berpada-pada … dan nak sayang pada ahli politik bukan Islam yang nampak baik di mata pun biarlah pada kadarnya ..
Wallahu a’lam
p/s: saya bukan UMNO
No comments:
Post a Comment