05 January 2010

Sindrom 'Imam Mahdi'


“Apa yang kamu dapat fikirkan tentang isu Imam Mahdi?” soal naqib malam itu. “Atau apa yang kamu fikir orang ramai akan fikir?”

Senyap… Semua menunggu orang lain yang mula bersuara.

“Tanda hampirnya kiamat.” Jawab seorang mad’u, akhirnya…

“Turunnya Nabi Isa a.s”. Yang lain pula menjawab.

“Perbahasan tentang benarkah Imam Mahdi itu wujud berdasarkan kekuatan hadis berkenaan Imam Mahdi, fiqh hadis…” jawab seorang ni pula. Minat benar dengan perbahasan ulama’.

“Satu orang yang hebat yang akan memimpin seluruh umat Islam, mengangkat darjat Islam ke tahap tertinggi.”

Dan lain-lain… Semakin mantap berbincangan!


Ok. Tiada yang salah. Cumanya saya nak sentuh bab Imam Mahdi sebagai pemimpin.

Apabila bersembang bab ini, satu mentaliti yang agak menyesakkan emosi adalah apabila ada yang ‘fikrahnya’ (cara berfikir@melihat sesuatu): “Imam Mahdi akan turun. Apabila dia datang dan aku berada di zaman itu, akan aku berhempas pulas sehabisnya untuk berdakwah, berjihad di bawah beliau.”

Nampak macam bagus fikrah ni. Memang bagus.

Tapi yang menyesakkan emosi itu ada pada frasa “Apabila dia datang dan aku berada di zaman itu,”. Maknanya? Kalau tidak ada Imam Mahdi, atau tak berpeluang ada di zamannya maka tidur sajalah…

‘Sindrom Imam Mahdi’. Atau ‘takut memulakan langkah pertama’.

Contoh mudah. Banyak kali dilihat, sekelompok manusia yang manthob , aktif dalam gerak dakwah atau persatuan yang manthob di sekolah yang juga manthob, apabila melangkah keluar, lesu. Kerana apa? Tiada persatuan atau platform yang membolehkan manusia manthob tadi bergerak.

Di universiti,

Martikulasi,

Kawasan di luar negara yang jauh dari persatuan dakwah,

PLKN,

Dan lain-lain…

Sindrom ini jelas kelihatan. Takut untuk memulakan langkah pertama; langkah untuk memulakan apa-apa dakwah kerana sudah terbiasa dengan meneruskan dakwah semasa di sekolah.

Contoh lain, dapat dilihat pada dialog di atas.

Contoh lain, fikirkanlah sendiri. Di IMU kan self-learning

Meneruskan tradisi dan kebiasaan itu mungkin payah. Namun memulakannya itu lazimnya lebih payah!

Keluar dari ‘zon selesa’

Apa perintah Allah SWT pula?

“Maka berlumba-lumbalah kamu (di dalam berbuat) kebaikan”. (Al-Baqarah : 148)

Seseorang yang akan memulakan langkah pertama itu pasti dan pasti akan muncul! Tak kiralah jika ‘seseorang’ itu muncul selepas setahun, 10 tahun atau lebih. Namun yang pastinya, ‘seseorang’ itu pasti akan muncul juga! Jadi, kenapa tidak KITA yang menjadi seseorang yang pasti akan ada itu? Nak menunggu orang lain? Oh, mereka semua juga berfikiran sama; ‘biarlah orang lain yang mulakan, dan aku akan tolong dia..’

Berlumba-lumbalah dalam kebaikan!


Di dalam hadis yang sahih Imam Muslim meriwayatkan daripada Jarir bin Abd Allah katanya: Datang sekumpulan Arab Badawi kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Mereka memakai pakaian bulu. Baginda melihat buruknya keadaan mereka. Mereka ditimpa kesusahan. Baginda menggesa orang ramai bersedekah. Namun mereka lambat melakukannya sehingga kelihatan kemarahan pada wajah baginda. (Kata Jarir) Kemudian seorang lelaki daripada golongan Ansar datang dengan sebekas perak (dan mensedekahkannya). Kemudian datang seorang yang lain pula, kemudian orang ramai datang (bersedekah) berturut-turut. Sehingga terlihat kegembiraan pada wajah baginda.bahawa nabi bersabda : “ Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang baik lalu ia diamalkan selepas itu, ditulis untuknya (pahala) seperti pahala orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan pahala mereka (para pengamal itu) sedikit pun. Sesiapa yang memulakan di dalam Islam sunnah yang jahat lalu ia diamalkan selepas itu ditulis untuknya (dosa) seperti dosa orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan dosa mereka (para pengamal itu) sedikit pun.” (Riwayat Muslim)

Mulakanlah kebaikan itu, walau sekecil manapun ia. Satu itu jauh lebih baik dari tiada, kan?
Mulakanlah kebaikan itu, dan jika ia dituruti oleh yang lain, dan diwariskan kepada junior yang lain, dan diwariskan kepada junior yang lain, dan diwariskan kepada junior yang lain dan seterusnya, maka ganjarannya juga kepada kelompok kecil yang memulakan insyaAllah.

Namun, jangan terlampau terburu-buru. Susun langkah & daki berhati-hati ke puncak Ledang. Jangan berlari, jika belum mahir. Nanti tersadung akar kayu, terguris duri atau terjatuh gaung! Yang penting, teruskan ke atas walau perlahan dan tunjukkan serta bukakan laluan kepada yang dibelakang, kerana itu lebih baik dari duduk di base camp dan menunggu lif dibina. Tapi jangan pula merangkak, jika mahir berlari ke atas!

Bina diri dari seorang pemerhati kepada penyokong, kemudian kepada penolong, seterusnya kepada tiang seri yang mampu memulakan, jika mampu. Kerana masanya mungkin tiba untuk kita perlu dan perlu untuk menjadi pemula langkah pertama; untuk menjadi ‘seseorang’ yang pasti dan pasti akan muncul.

Sesungguhnya kami telah jadikan manusia dengan sebaik baik kejadian (at-Tin, 4)

Allahua’lam
Semua kata-kata boleh diambil dan ditolak kecuali kata-kata pemilik kubur ini (maqam Rasulullah s.a.w.)

No comments:

Post a Comment