28 July 2010

makan mayat; hobi jelik kegemaran ramai




(diambil dari as-Shifa' edisi 4 2009. Maaf, belum sempat nak edit..)

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Al-lah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Men-gasihani. [Al-Hujurat; 12]


Dari Anas r.a. katanya: Rasullullah s.a.w. bersabda maksud-nya: “ketika saya dimi’rajkan, saya berjalan melalui suatu kaum yang mempunyai kuku-kuku dari tembaga yang dengan kuku-kuku tadi mereka menggaruk-garukkan muka serta dada mereka sendiri. Saya bertanya: “Siapakah mereka, itu wahai Jibril?” Jibril menjawab: “itulah orang-orang yang makan daging sesama manusia (yakni mengumpat) dan menjatuhkan maruah mereka.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Barangsiapa yang menutupi aib saudara muslimnya, maka Allah akan menutup aibnya di dunia mahupun di akhirat. (Hadis Riwayat Muslim)

“Mana ada kami mengumpat. Kami gosip cerita yang betul apa…”


Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang maksudnya: “Adakah kamu semua mengetahui, apakah mengumpat itu?”

para sahabat menjawab “Allah dan RasulNya lebih mengetahui”
Baginda bersabda "Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya"

Baginda ditanya “Bagaimanakah pendapat tuan, jika dalam diri saudara saya itu benar-benar ada apa yang dikatakan itu?” Baginda menjawab “Jika benar-benar ada dalam dirinya apa yang engkau ucapkan itu, maka sesungguhnya engkau telah mengumpatnya dan jika tidak ada dalam dirinya apa yang kamu katakan, maka sesungguhnya kamu telah membuat-buat dusta pada dirinya (Riwayat Muslim)

Bukan semua percakapan tentang manusia itu mengumpat. Yang tak bolehnya, ’berbincang’ hal-hal yang dia tak suka.

“Habis tu, kalau memang dia tak kisah?”
Macam mana kita tahu isi hati orang lain? Mulut rela, wajah ceria, namun hati mungkin menderita. Antara berkemungki-nan menempah murka Allah & neraka berbanding keseronok-kan bercakap hal orang, saya memilih ‘diam’!

Tapi mengumpat sudah terbiasa sehingga hilang rasa bersalah. Gosip yang keji dan mengaibkan kadang-kala menjadi syarat wajib jika bertemu. Antara kawan, ipar duai, saudara-mara dan seterunya. Terhakislah sifat kasih sayang dan saling percaya antara Muslim apabila maruah saudara sendiri menjadi mainan.
Tatkala sedang dalam majlis ‘kenduri makan mayat’ ini, bangun dan beredarlah.

Namun, bersumberkan dalil-dalil yang kuat, terdapat beberapa keadaan yang dibolehkan mengumpat. Antaranya:
1) Seseorang yang mengadu kepada orang yang mempunyai kuasa seperti hakim dan polis untuk menolong orang yang dianiaya atau diri sendiri daripada yang menganiaya seperti isteri yang didera.

2) Meminta pertolongan dari orang yang diharapkan dapat menggunakan kekuasaannya dalam menghentikan kemung-karan dan mengembalikan orang yang melakukan maksiat ke jalan yang benar.

3) Orang yang meminta fatwa/hukum bagi sesuatu masalah seperti “ayahku telah menganiayaiku dengan perbuatan demikian. Adakah dia berhak berbuat demikian?” Namun yang lebih berhati-hati dan utama adalah dengan pengucapan umum tanpa menyebut siapa seperti “adakah boleh seorang ayah melakukan perbuatan demikian kepada anaknya?”

4) Dalam keadaan ramai orang yang mempunya nama yang sama dalam sesebuah kawasan. Penggunaan gelaran seperti ‘Abu Bulat’, ‘Abu Galah’ adalah dibenarkan tanpa berniat untuk mengejek.

5) Menceritakan keburukan seseorang orang lain sebagai nasihat atau supaya orang lain lebih berhati-hati dengannya agar tidak terpengaruh dengan keburukannya atau dianiayainya.

Namun berhati-hatilah. Syaitan memang bijak mencampur aduk halal & haram. Jaga niat dari dengki, nak malukan orang, ‘suka-suka’, mengejek dan lain-lain agar kebenaran untuk mengumpat tidak kembali menjadi dosa.

Tak baik tau!

Rujukan: Riyadhu as-Salihin; Imam Nawawi
(p/s: ingat nak letak gambar pasal kanibal. Tapi bila dah google, tak sanggup nak tengok. Begitukah mengumpat?)

No comments:

Post a Comment